AGC diminta jelaskan cadangan jadikan Perlembagaan versi BM teks berautoriti

AGC diminta jelaskan cadangan jadikan Perlembagaan versi BM teks berautoriti

Kumpulan hak asasi berkata Peguam Negara Idrus Harun harus betulkan teks Perlembagaan versi Bahasa Melayu berkenaan pertukaran agama kanak-kanak, mengikut teks Bahasa Inggeris.

AGC akan mencadangkan kepada kerajaan versi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu sebagai teks berautoriti, kata Peguam Negara Idrus Harun semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Satu kumpulan hak asasi mempersoalkan motif Jabatan Peguam Negara mencadangkan kepada kerajaan versi Perlembagaan dalam Bahasa Melayu sebagai teks berautoriti.

Global Human Rights Federation (GHRF) khuatir kerana Perkara 12(4) Perlembagaan versi Bahasa Melayu menyentuh soal pertukaran agama kanak-kanak, menyatakan hanya izin ibu atau bapa atau penjaga diperlukan untuk menukar agama individu bawah umur.

Sebaliknya, versi Bahasa Inggeris menyatakan pertukaran agama individu bawah umur memerlukan izin ibu dan bapa atau penjaga. Mahkamah Persekutuan pada 2018 mengisytiharkan istilah “parent” dalam teks Bahasa Inggeris bermaksud ibu dan bapa.

Presiden GHRF, S Shashi Kumar, berkata Peguam Negara Idrus Harun harus betulkan teks Bahasa Melayu itu sebelum mencadangkan kepada kerajaan.

Langkah itu bagi memastikan hak orang bukan Islam tidak terjejas, memandangkan terdapat kes anak mereka ditukar agama secara sebelah pihak, seperti kes M Indira Gandhi dan Loh Siew Hong yang mana agama anak mereka ditukar tanpa pengetahuan atau izin mereka.

Sementara itu, Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) khuatir kebergantungan kepada teks Bahasa Melayu akan mempunyai kesan ke atas keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai pertukaran agama sebelah pihak.

Oleh itu, teks Bahasa Inggeris harus kekal sebagai teks rasmi memandangkan teks asal ditulis dalam bahasa itu.

“Boleh terjemah bahasa Perlembagaan tetapi teks rasmi mestilah teks dalam bahasa asal. Ini kerana teks asal boleh dirujuk untuk membetulkan terjemahan yang tidak sempurna,” katanya.

Jabatan Peguam Negara akan mencadangkan kepada kerajaan versi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu sebagai teks berautoriti, kata Idrus semalam, tertakluk kepada persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.