
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, walaupun kerja penyelenggaraan dan penstabilan cerun sudah dijalankan, namun kawasan sekitar didapati masih tidak selamat diduduki, selain rumah terlibat mengalami keretakan dan terlalu hampir dengan tebing.
“Hasil laporan teknikal yang diterima daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dimaklumkan 15 rumah berkenaan tidak selamat dan kita akan mengeluarkan notis pengosongan dalam masa terdekat.
“Perkara itu akan dibawa ke mesyuarat exco negeri pada Rabu ini bagi membincangkan tindakan susulan serta bantuan bagi mengurangkan beban penghuni terjejas,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh itu.
Izham berkata, kerja menstabilkan cerun membabitkan kos RM15 juta itu sudah siap 80% sejak dijalankan Mei tahun lepas dan dijangka siap sepenuhnya Mac ini.
“Kerja menstabilkan itu turut membabitkan pembinaan parit ‘horizontal’ (mendatar) dan parit ‘vertical’ (menegak) dan kerja menstabilkan giat dijalankan di bahagian kiri dan kanan cerun berkenaan.”
Katanya, fenomena hujan berterusan sebelum kejadian menyebabkan air bertakung dalam kuantiti besar yang menjadi punca berlaku tanah runtuh.
“Ini adalah kawasan tambakan yang dibina pada 1980-an dengan sistem saliran tidak dibina dengan baik sehingga air bertakung. Terdapat enam runtuhan tanah di kawasan ini dengan kali terakhir direkodkan Disember tahun lepas, namun ia hanya membabitkan runtuhan kecil,” katanya.
Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 kira-kira 6 petang Mac 2022 meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.