Along disyaki letak kepala babi di depan rumah, kedai

Along disyaki letak kepala babi di depan rumah, kedai

Polis berkata kejadian di Kuala Pilah dan Tampin itu berpunca daripada masalah hutang antara mangsa dengan suspek.

DATUK ALZAFNY AHMAD
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata tindakan suspek bertujuan memberi tekanan kepada mangsa supaya melunaskan hutang kepada along. (Gmabar Bernama)
SEREMBAN:
Polis menerima dua laporan berhubung kejadian meletakkan kepala babi di hadapan sebuah rumah di Kuala Pilah dan sebuah kedai di pekan Tampin, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata kedua-dua mangsa dalam kejadian itu ialah lelaki yang mempunyai pertalian antara satu sama lain.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu mempunyai kaitan dan dipercayai bermotifkan masalah peribadi antara mangsa dengan suspek yang disyaki pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

“Siasatan mendapati kejadian itu bukan bersifat kebencian terhadap agama oleh mana-mana individu, sebaliknya bertujuan memberi tekanan kepada mangsa supaya melunaskan hutang kepada along.

“Polis juga percaya suspek adalah individu sama yang pernah melakukan perbuatan menyimbah cat di kedai berkenaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan sehingga boleh membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Alzafny berkata individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau menyebarkan maklumat tidak benar berhubung isu berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.