Maszlee akan ketuai Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan?

Maszlee akan ketuai Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan?

Komen Anwar Ibrahim meminta Maszlee Malik ‘bersiap sedia kerana cuti sabatikalnya akan tamat tidak lama lagi' menimbulkan spekulasi terhadap kemunculan semulanya dalam kerajaan.

Maszlee Malik kelihatan ceria bersama Anwar Ibrahim selepas mesyuarat MPP PKR pada Sabtu. (Gambar Maszlee Malik)
PETALING JAYA:
Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik mungkin membuat kemunculan semula menerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diaktifkan semula oleh kerajaan perpaduan.

Spekulasi timbul menyusuli catatan Facebook Maszlee semalam bahawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memintanya bersiap sedia kerana “cuti sabatikalnya akan tamat tidak lama lagi” selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Jumaat lalu.

Sebulan lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah mengumumkan bahawa MPPK akan diaktifkan semula.

Seorang Ahli Parlimen kanan dari Pakatan Harapan yang enggan dinamakan berkata, Maszlee adalah calon terbaik untuk jawatan terbabit kerana pernah menjadi ahli akademik sebelum dilantik sebagai menteri pendidikan ketika PH berkuasa pada 2018.

“Kami akan gembira kerana beliau pilihan tepat dan amat berminat dengan pendidikan. Beliau yang bertanggungjawab menubuhkan MPPK pada 2018,” katanya kepada FMT.

Majlis itu ditubuhkan ketika Maszlee menjadi menteri pendidikan selama dua tahun, untuk menyumbang idea dan pandangan kepada Kementerian Pendidikan dalam menetapkan hala tuju bagi sistem pendidikan negara. Selepas kejatuhan kerajaan PH, MPPK tidak diaktifkan di bawah kerajaan Perikatan Nasional.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (Page), Noor Azimah Abdul Rahim, yang pernah menganggotai MPPK, berkata Maszlee adalah calon sesuai untuk mengetuai majlis itu.

“Beliau mempunyai keobjektifan yang diperlukan untuk melakukan perubahan dikehendaki sistem pendidikan, khasnya dalam menangani gelombang hijau daripada sekolah kebangsaan yang membimbangkan.

“MPPK yang saya sertai dahulu mengadakan kira-kira 100 mesyuarat. Kami mengemukakan cadangan dalam bidang khusus Bahasa Inggeris, pengajian Islam, perkongsian awam-swasta, profesionalisme guru dan pendidikan khas,” katanya kepada FMT

Maszlee yang merupakan bekas ahli Bersatu, menyertai PKR November lalu dan menganggotai MPP parti itu.

Beliau dilihat berpotensi kembali menerajui Kementerian Pendidikan, tetapi harapannya musnah selepas gagal mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.

FMT cuba menghubungi Maszlee untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.