
Kumpulan pelajar tersebut mendesak Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam.
Naib Canselor UM, Noor Azuan Abu Osman berkata program matrikulasi merupakan sistem pendidikan menyeluruh, yang terbukti berperanan dalam menyediakan akses kepada pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.
“Sistem matrikulasi adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan dalam memastikan peluang pendidikan yang lebih inklusif dan saksama untuk semua.

“UM kekal komited menyokong dasar pendidikan negara yang berteraskan prinsip keadilan, kebolehcapaian dan pembangunan modal insan demi kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.
Menurutnya, kenyataan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) yang menuntut program itu dimansuhkan, tidak mencerminkan pendirian rasmi universiti.
Presidennya Tang Yi Ze sebelum ini berkata silibus STPM terbukti lebih baik kerana lebih mencabar dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Noor Azuan berkata walaupun UM sentiasa menyokong kebebasan bersuara namun ia perlu diiringi rasa tanggungjawab serta pertimbangan yang wajar terhadap sensitiviti dan implikasi kenyataan yang dibuat, terutama yang melibatkan dasar awam.
Sementara itu, satu lagi kumpulan pelajar, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) turut mempertahankan program matrikulasi sebagai laluan penting ke pendidikan tinggi.
Katanya, pemansuhan program itu akan mengurangkan peluang akses pendidikan kepada sebahagian besar pelajar dan tidak mencerminkan kepentingan jangka panjang pembangunan pendidikan negara.