
Beliau berkata, hantaran di Facebooknya pada Sabtu yang mengatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memintanya untuk “bersedia sahaja, cuti rehat anda akan tamat tidak lama lagi” sebenarnya disalah tafsir.
“Teguran Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah ditafsirkan sebagai tawaran jawatan oleh media dan ramai pihak.
“Terima kasih kepada semua yang berbaik sangka dan menaruh harapan. Saya tidak menyebutkan apa-apa mengenainya di dalam status tersebut,” katanya di Facebook.
Maszlee berkata, apa diperkatakan Anwar merujuk supaya beliau kembali bekerja untuk PKR dan Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihan raya negeri (PRN) tahun ini.
Dalam pada itu, beliau juga ada menawarkan diri kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bagi mengadakan lawatan ke sekolah di seluruh negara untuk bertemu guru bertujuan memberi “motivasi dan semangat”.
“Saya juga telah menawarkan diri kepada Fadlina Sidek untuk turun ke sekolah-sekolah bertemu guru untuk memberikan motivasi dan menaikkan semangat mereka, terutamanya dalam usaha guru memulihkan anak-anak murid pasca Covid-19.
“Melalui jerayawara itu juga diharapkan saya akan dapat membawa inspirasi dan suara menteri pendidikan serta kerajaan kepada para guru untuk terus membangunkan pendidikan,” katanya.
Terdahulu, hantaran dimuat naik Maszlee, mencetuskan persoalan seakan-akan memberi bayangan bakal menyertai kerajaan pimpinan Anwar.
Dalam hantaran itu, Maszlee berkongsi petikan kata perdana menteri kepadanya ketika bertemu pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
“Perdana menteri berkata ‘bersiap sedia, cuti sabatikal anda akan berakhir dalam tempoh terdekat’,” katanya dalam hantaran itu.
Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu adalah menteri pendidikan dalam kerajaan PH pada 2018 yang diketuai Dr Mahathir Mohamad, sebelum meletak jawatan pada Januari 2020.