‘Laluan mudah’ bagi pengembara, tahap kesihatan pelancong China fokus utama

‘Laluan mudah’ bagi pengembara, tahap kesihatan pelancong China fokus utama

Tiong King Sing berkata untuk melancar dan memendekkan proses ketibaan pelancong China, pegawai fasih berbahasa Mandarin akan ditempatkan di semua lapangan terbang antarabangsa negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, berkata langkah menyediakan ‘laluan mudah’ juga bertujuan menghapuskan kebimbangan pelancong asing berhubung langkah Malaysia mengetatkan SOP di pintu masuk negara.
PETALING JAYA:
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bercadang menyediakan ‘laluan mudah’ khususnya bagi pelancong China, termasuk mengambil kira tahap kesihatan dan keselamatan mereka ke negara ini.

Menterinya, Tiong King Sing, berkata pihak kementerian juga akan menempatkan pegawai fasih berbahasa Mandarin di semua lapangan terbang antarabangsa negara ini bagi membantu kelancaran serta memendekkan proses ketibaan pelancong, terutama dari China.

Katanya, langkah yang diambil itu juga bertujuan menghapuskan kebimbangan pelancong asing berhubung langkah Malaysia mengetatkan SOP di pintu masuk negara.

“Sejumlah besar pengembara dari China dijangka akan memasuki negara kita untuk melancong dan bagi menerima serta mengalu-alukan kedatangan pelancong China, Motac mencadangkan untuk menyediakan laluan mudah di lapangan terbang antarabangsa. Ini bukan sahaja untuk kelancaran, tetapi juga dapat menyingkatkan proses ketibaan.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Imigresen kerana bersetuju membuka laluan mudah, bagi memudah dan mempercepatkan proses kemasukan pengembara yang memasuki negara kita,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Tiong berkata, langkah memperketatkan SOP sedia ada bukan langkah tepat dan berkesan bagi kemasukan pengembara asing, termasuk China.

Tegasnya, soal keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan, namun ia juga perlu diseimbangkan dengan faktor ekonomi demi kepentingan rakyat dan negara.

Beliau menjawab gesaan pelbagai pihak yang mahu kerajaan menangguhkan kemasukan pelancong China buat sementara waktu bagi mengelakkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19 yang berlaku pada 2020 susulan peningkatan kes wabak itu di negara berkenaan.

“Setakat ini, kita masih kekal dengan status quo dan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa. Jika ada perubahan situasi dan keperluan mendesak, sudah tentu kita akan memperketatkan SOP secara khusus,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.