Kerja lebih masa dikhuatiri jejas kualiti penjagaan di kemudahan kesihatan awam

Kerja lebih masa dikhuatiri jejas kualiti penjagaan di kemudahan kesihatan awam

Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, bekerja lebih masa akan menyumbang kepada keletihan kepada petugas kesihatan, dengan imbuhan diberikan tidak setimpal.

Doktor pelatih, pegawai kesihatan, malah pakar di pusat penjagaan kesihatan awam lazimnya bekerja melebihi syif, namun tidak diberi imbuhan setimpal, kata MMA. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) khuatir lanjutan waktu bertugas bagi pegawai kesihatan akan menjejaskan tahap penyampaian dan penjagaan di kemudahan kesihatan awam.

Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, pihaknya menerima aduan daripada kumpulan doktor pelatih bahawa mereka perlu memulakan tugas sehingga tiga jam lebih awal dan bekerja lebih masa selepas syif berakhir bagi memastikan kelancaran tugas pentadbiran.

“Doktor pelatih, pegawai kesihatan, malah pakar di pusat penjagaan kesihatan awam kini secara kebiasaannya bekerja melebihi syif, namun tidak diberi imbuhan setimpal.

“Petugas kesihatan yang keletihan dan bekerja lebih masa akan meninggalkan kesan terhadap kualiti penjagaan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, situasi ini berlaku ekoran kekurangan doktor di seluruh negara, menyebabkan doktor sedia ada terpaksa bekerja lebih masa.

Tambahnya, bayaran elaun kadar rata sebanyak RM600 yang diterima doktor tidak setimpal dengan tambahan masa kerja.

Jika perkara ini berlaku dalam sektor swasta, katanya, ia akan dilihat sebagai eksploitasi, namun sudah lama dianggap sebagai “kewajipan pada negara” bagi petugas dalam sektor kerajaan.

Justeru, bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan, Muruga berkata, MMA bercadang berjumpa dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Sumber Manusia untuk mendengar pandangan mereka mengenai perkara ini.

“Kami berpendapat, beberapa dasar diperlukan bagi melindungi pekerja kesihatan daripada menerima layanan tidak adil berbanding rakan setugas di sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Kesihatan (KKM) memperbaharui sistem penjagaan menerusi Kertas Putih Kesihatan, keseimbangan kerja dan hidup pekerja sektor kesihatan awam akan menjadi antara bidang yang akan diteliti lebih terperinci.

“Untuk menangani isu ini, kita memerlukan lebih ramai kakitangan dalam penjagaan kesihatan awam,” katanya.

Pada 6 Jan, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan kerajaan setuju menambah sebanyak 4,914 jawatan tetap, melibatkan 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

Sebelum ini, doktor kontrak berdepan masalah dilantik ke jawatan tetap sejak sekian lama, menjurus kepada mogok besar-besaran di seluruh negara pada Julai 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.