Separuh akhir AFF Malaysia-Thailand boleh ditonton di 14 skrin gergasi 

Separuh akhir AFF Malaysia-Thailand boleh ditonton di 14 skrin gergasi 

Kesemua 59,000 tiket untuk perlawanan separuh akhir pertama menentang Thailand di Bukit Jalil telah habis dijual.

Pasukan Harimau Malaya akan menentang Thailand pada perlawanan pertama Piala AFF esok di Bukit Jalil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peminat bola sepak yang gagal mendapatkan tiket perlawanan Piala AFF Harimau Malaya menentang Thailand malam esok boleh menonton aksi itu di 14 skrin gergasi di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kementeriannya dan Kementerian Perpaduan Negara sedang berusaha untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menyaksikan perlawanan itu.

“Semoga sokongan padu kami membawa Harimau Malaya ke pusingan akhir,” ciapnya di Twitter baru-baru ini.

Ia susulan kemarahan peminat bola sepak berikutan 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional di Bukit Jalil telah dibiarkan kosong kerana disekat oleh pentas bagi penganjuran konsert bintang pop Taiwan Jay Chou pada 15 Jan.

Stadium Nasional boleh memuatkan lebih daripada 84,000 penonton.

Kesemua 59,000 tiket untuk perlawanan esok telah habis dijual dalam talian dalam masa kurang daripada 24 jam.

Pasukan Harimau Malaya akan bermain perlawanan pertama Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) esok menentang Thailand.

Malaysia mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan sembilan mata selepas menundukkan Singapura 4-1 pada Selasa, di belakang Vietnam yang menduduki tempat pertama.

Selepas aksi separuh akhir pertama di Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Thailand untuk aksi timbal balik di Stadium Thammasat, Pathum Thani di utara Bangkok pada 10 Jan.

Jika mampu mengatasi juara Piala AFF enam kali, skuad Harimau Malaya akan bertemu pemenang dua lagi separuh akhir, Vietnam dan Indonesia pada perlawanan akhir pada 13 dan 16 Jan.

Lokasi 14 skrin gergasi adalah:

  • Dataran Merdeka, Kuala Lumpur;
  • Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya;
  • Kompleks Belia dan Sukan, Batu Uban, Pulau Pinang;
  • Meow Garden, Ulu Kinta, Perak;
  • Taman MBPJ, Petaling Jaya, Selangor;
  • Dataran Kemerdekaan, Shah Alam;
  • Perkarangan Majlis Perbandaran Sepang;
  • Dataran Stadium Kajang;
  • Dataran Tanah Lesen, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam;
  • Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Negeri Sembilan;
  • Restoran Al Marjan MITC, Ayer Keroh, Melaka;
  • Dewan Bandaraya Kuantan, Pahang;
  • Mydin Petrajaya, Kuching, Sarawak;
  • Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.