70% projek di Sarawak boleh laksana tanpa rujuk pusat, kata Fadillah

70% projek di Sarawak boleh laksana tanpa rujuk pusat, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata projek berada dalam lingkungan kos itu merangkumi sekolah, klinik, balai bomba dan projek luar bandar lain dapat dijalankan oleh JKR Sarawak.

Fadillah Yusof berkata keputusan kerajaan membenarkan pelaksanaan projek dengan kos bawah RM50 juta amat bermakna kepada Sarawak mempercepatkan pembangunannya.
SIBU:
Kira-kira 70% projek persekutuan kini boleh dikendalikan kerajaan Sarawak tanpa merujuk kepada kerajaan persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata ini selepas keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu yang membenarkan pelaksanaan mana-mana projek dengan kos bawah RM50 juta diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, projek berada dalam lingkungan kos itu merangkumi sekolah, klinik, balai bomba dan projek luar bandar lain dapat dijalankan oleh JKR negeri Sarawak.

Keputusan itu katanya amat bermakna kepada Sarawak dalam usaha mempercepatkan pembangunan terutama di kawasan luar bandar.

“Inilah kedudukannya apabila kita dapat bersama membentuk kerajaan dan suara kita didengar dan yang penting GPS (Gabungan Parti Sarawak) itu diiktiraf peranannya dalam pembentukan kerajaan perpaduan,” katanya ketika berucap pada malam mesra GPS 2023 di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor, malam ini.

Timbalan perdana menteri berkata, GPS memainkan peranan dalam menentukan kestabilan politik negara selepas PRU15 lalu.

Justeru, beliau berkata setiap ahli komponen GPS perlu memastikan kerajaan perpaduan kekal dalam tempoh lima tahun akan datang demi kepentingan pembangunan untuk rakyat Sarawak.

Fadillah tiba di Sibu untuk lawatan rasminya yang pertama sebagai timbalan perdana menteri.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis tengah hari bersama ketua jabatan negeri, persekutuan serta pemimpin masyarakat pelbagai kaum di Sibu di Dewan Lakis, beliau berkata semangat perpaduan rakyat Sarawak boleh diterjemahkan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan yang stabil dan membangunkan negara bersatu padu.

Katanya, jika masyarakat dapat memainkan peranan masing-masing ke arah menyemarakkan semangat bersatu padu, ia membolehkan kerajaan memfokuskan kepada pembangunan negara melalui sudut ekonomi sekali gus boleh menjuruskan kepada kesejahteraan masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.