
Menurut pengurus program Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Nik Azura Nik Nasron, Affandi Abdul Rahim ketika itu berusia 20 tahun, ditahan anggota polis yang melakukan rondaan di Gombak, Selangor, kerana menunggang motosikal tanpa topi keledar.
Pergelutan berlaku selepas dia ditahan, yang akhirnya menyebabkan Affandi merampas pistol anggota polis itu dari pinggangnya dan menghalakannya ke arah pegawai itu.
Selepas melepaskan tembakan ke udara, Affandi melarikan diri dengan pistol dan menyerahkannya kepada bapa saudaranya. Dia kemudian diberkas polis, kata Nik Azura.
Affandi, kini 42 turut dikenakan enam sebatan atas kesalahan itu.
Ibunya, Feridah Ismail, 68, berkata Affandi seorang yang baik dan membantu menghantarnya ke tempat kerja setiap hari dengan menaiki motosikalnya.
“Dia tidak pernah mempunyai rekod jenayah atau menyebabkan kesusahan kepada orang lain sebelum kejadian itu.
“Tiga hari lalu, dia menelefon saya mengatakan dia akan pulang ke rumah tidak lama lagi dan menjaga saya dan dia berdoa agar saya masih hidup,” katanya kepada FMT.
Feridah berkata, dia turut berdoa agar Affandi yang sedang menjalani hukuman di penjara Tapah dibebaskan suatu hari nanti.
Katanya, Affandi memintanya mendapatkan bantuan daripada Suaram dua tahun lalu, tetapi wabak Covid-19 menghalang NGO itu daripada menghulurkan bantuan mereka.
Hari ini, Suaram menyertai Feridah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), menggesa mereka membantu keluarga itu dalam usaha mendapatkan pengampunan diraja untuk Affandi.
Nik Azura menggesa Jabatan Peguam Negara meneliti kes Affandi, sambil menambah ketika perbicaraannya berlangsung, keluarga itu tidak mempunyai dana untuk melawan kes berkenaan.