Dakwaan kerajaan Sabah akan bertukar tidak benar, kata Joachim

Dakwaan kerajaan Sabah akan bertukar tidak benar, kata Joachim

Timbalan ketua menteri berkata, beliau yakin Ketua Menteri Hajiji Noor masih mempunyai majoriti mencukupi untuk terus menerajui Sabah.

Joachim (tengah) bersama pemimpin-pemimpin kerajaan dan masyarakat cina pada majlis penyerahan kepala singa kepada masyarakat Tiong Hua, di Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU:
Timbalan Ketua Menteri Dr Joachim Gunsalam menafikan akan berlaku peralihan kepimpinan kerajaan negeri seperti yang didakwa dan tular di media sosial sejak hari lalu.

Katanya, beliau yakin Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor masih mempunyai majoriti mencukupi untuk terus menerajui negeri ini.

Beliau yang juga timbalan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, tiada keperluan untuk diadakan undi percaya buat masa ini namun yakin keputusan akan tetap berpihak kepada Hajiji sekiranya perkara itu dilaksanakan.

“PBS juga akan memberikan sokongan ‘110%’ kepada ketua menteri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan ‘kepala singa’ kepada masyarakat Tiong Hua, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai tindakan pihak yang menyebarkan khabar angin kononnya kerajaan negeri akan bertukar, Joachim berkata, tindakan itu dilihat sebagai usaha untuk menjadikan keadaan politik di Sabah tidak stabil.

“Sudah tentu mereka cuba menjadikan keadaan tidak stabil, tapi apa yang penting kita kerja dulu, kalau memang betul, kita akan lihat apa yang perlu dilakukan selepas itu,” katanya.

Matbali Musa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sipitang daripada GRS, Matbali Musah ketika ditemui turut menafikan perkara itu dan menyifatkan ia hanyalah permainan politik.

“Ini biasalah dalam politik, politik ini sesuatu yang dinamik, kita sedia maklum macam-macam perkara boleh berlaku.

“Tapi apa-apa pun kita tunggu, tapi buat masa ini tiada masalah, mungkin ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengeluarkan pelbagai kenyataan, tapi setakat ini Insya-Allah perkara itu (pertukaran kerajaan dalam masa terdekat) tidak akan berlaku,” katanya.

Kerajaan negeri yang diterajui Hajiji kini mempunyai 53 daripada 79 (termasuk ADUN dilantik) kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerusi berkenaan ialah 29 daripada GRS dan 17 daripada Barisan Nasional (BN) manakala sokongan lain adalah daripada parti mesra kerajaan iaitu parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) sebanyak tiga kerusi, PAS (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1), Parti Bangsa Malaysia (1) dan Bebas (1).

Sementara itu, pembangkang di Sabah memiliki 26 kerusi iaitu 19 daripada Warisan dan tujuh daripada Pakatan Harapan (PH).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.