
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan prosiding pembelaannya, yang dijadualkan bermula esok, sementara menunggu permohonan Siti Bainun untuk menyemak semula pertuduhan.
“Saya akan memberikan keputusan saya (mengenai semakan pertuduhan dan bantahan pihak pendakwaan terhadap semakan itu) pada 13 Jan.
“Sementara itu, saya akan memberi penangguhan, yang akan menjejaskan pendengaran esok dan Jumaat,” kata Sequerah.
Siti Bainun dibicarakan atas dua pertuduhan melakukan penderaan dan pengabaian terhadap seorang remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada 2021.
Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Siti Bainun mahu menyemak semula pertuduhan terhadapnya dengan alasan ia cacat.
Dia mendakwa bahawa keputusan Mahkamah Sesyen untuk memerintahkannya membela diri atas pertuduhan penderaan kanak-kanak adalah terbatal dan tidak sah kerana hakim gagal mempertimbangkan pertuduhan yang “cacat” itu.
Terdahulu, peguam Siti Bainun, PG Cyril, berkata anak guamnya mengambil pendirian tidak tahu apa yang perlu dijawab dalam mengemukakan pembelaannya kerana pertuduhan itu “cacat”.
Cyril menegaskan ia adalah pendirian pihak pembelaan bahawa kedua-dua pertuduhan itu cacat, dan itulah sebabnya dia mahu Mahkamah Tinggi menyemaknya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun menggunakan laluan yang salah untuk mencabar pertuduhan itu.
Katanya, pihak pembelaan sepatutnya menghantar surat kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta semakan terhadap perintah Mahkamah Sesyen, bukannya notis usul.