Suaram gesa siasatan telus ke atas dakwaan remaja dirogol polis

Suaram gesa siasatan telus ke atas dakwaan remaja dirogol polis

Suaram berkata, prosedur siasatan bagi kes rogol dan serangan seksual perlu dikemas kini.

Seorang inspektor polis ditahan dan siasatan sedang dijalankan terhadap dakwaan rogol itu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa siasatan telus ke atas dakwaan seorang gadis berusia 16 tahun yang dirogol seorang pegawai polis.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, berkata prosedur mengendalikan kes rogol dan gangguan seksual juga perlu diteliti, selaras Akta Anti Gangguan Seksual 2022.

“Suaram mengingatkan pihak umum bahawa ini bukan kali pertama pihak media membongkarkan kes rogol atau gangguan seksual yang dilakukan pegawai polis.

“Kami khuatir kes sebegini tetap berulang kerana budaya bebas daripada sebarang hukuman,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, insiden ini satu lagi contoh mengapa Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dicadangkan pada 2019, yang digantikan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) semasa, perlu dikembalikan.

“IPCC tiada kuasa menyiasat dan penguatkuasaan mencukupi. Sebarang keputusan siasatan oleh IPCC hanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), akan tetapi SPP tidak mempunyai kewajipan melaksanakan cadangan tersebut ataupun melapor balik kepada IPCC.”

Sevan turut menggesa sistem akauntabiliti dalam pasukan polis diperkukuhkan bagi membaiki imej jabatan dan mendapat kepercayaan orang ramai.

Semalam, media melaporkan seorang remaja membuat laporan mendakwa dirogol seorang pegawai polis berpangkat inspektor di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kedah. Pegawai terbabit sudah ditahan.

Sumber dipetik Harian Metro berkata, mangsa membuat laporan tiga hari selepas dakwaan serangan seksual oleh suspek dalam lingkungan 30-an.

Menurut akhbar itu, mangsa dipanggil inspektor itu untuk membantu siasatan berhubung kes rogol berasingan membabitkan gadis itu dan bapa tirinya.

Mangsa yang tidak bersekolah lagi, membuat laporan pada Sabtu lalu dan memberi keterangan di IPD sebelum menjalani pemeriksaan di hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.