
Sumber dipetik Harian Metro berkata, polis merampas pakaian yang dipakai mangsa ketika kejadian untuk ujian DNA, selain tiga telefon bimbit milik mangsa, rakannya dan suspek untuk dihantar ke makmal forensik.
Katanya, polis turut merampas sarung bantal dan cadar yang dipercayai mengandungi sampel DNA, rambut, bulu serta pisau cukur.
“Semua bahan yang dirampas itu diserahkan ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut,” kata sumber itu.
Pegawai polis berusia 34 tahun itu sudah ditahan, manakala mangsa bersama ahli keluarganya dipanggil ke IPD untuk dirakam keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
Semalam, sumber dipetik Harian Metro berkata, seorang remaja berusia 16 tahun dirogol seorang inspektor ketika berada dalam pejabatnya di IPD itu pada 6.30 petang Rabu lalu.
Suspek didakwa mengambil kesempatan atas alasan menjalankan siasatan terhadap mangsa yang sebelum itu membuat laporan mendakwa dirogol bapa tirinya.
Sumber dilaporkan berkata, unit forensik polis yang menyiasat lokasi kejadian menemui beberapa kesan dipercayai air mani pada cadar serta sarung bantal dalam pejabat inspektor itu.