MTUC mohon PM campur tangan isu pekerja kontrak LHDN

MTUC mohon PM campur tangan isu pekerja kontrak LHDN

Kesatuan pekerja itu menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan isu 958 pekerja kontrak LHDN yang ditamatkan kerja.

Setiausaha Politik Kanan kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Md Akin (tengah) menerima memo daripada wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan pekerja kontrak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa campur tangan berhubung 958 pekerja kontrak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang telah tamat perkhidmatan.

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor, berkata meskipun berkhidmat secara kontrak iaitu bergantung gaji harian, ada antara mereka sudah bekerja belasan tahun.

“Kami merayu kepada perdana menteri supaya pekerja ini diambil semula bekerja kerana mereka merupakan pekerja bawahan iaitu mendapat bayaran RM65 sehari,” katanya.

Menurutnya, jumlah 958 pekerja kontrak tersebut meliputi seluruh cawangan LHDN di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Apabila pekerja ini diberhentikan, mereka telah terputus pendapatan untuk sesuap nasi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan surat rayuan kepada perdana menteri menerusi Setiausaha Politik Kanan Shamsul Iskandar Md Akin.

Kamarul berkata, kebanyakan mereka yang terlibat terdiri golongan B40.

Beliau turut mempersoal alasan pihak LHDN menamatkan kontrak pekerja terbabit, sedangkan agensi itu telah melalui pelan transformasi.

Katanya, ‘LHDN telah melalui proses automasi’ hanya alasan kerana lebih 700 pekerja baharu telah pun diambil, selain didakwa diserap sebagai pekerja tetap.

“Saya dimaklumkan LHDN telah mengambil pekerja baharu lebih 700 orang tapi yang menjadi persoalan ialah mengapa pekerja baharu diambil dan pekerja lama diberhentikan?

“Jika LHDN mengatakan ia masalah digitalisasi, pihak pengurusan boleh buat benda itu dengan baik dengan menyerap mereka sebagai pekerja tetap kerana mereka berpengalaman,” katanya.

Sementara itu, Shamsul berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Anwar dan penelitian lanjut akan dilakukan bagi menyelesaikan isu berbangkit.

“Saya telah maklum perkara ini kepada perdana menteri dan kita sedang teliti dan akan beri satu penyelesaian,” katanya.

Terdahulu, lebih 100 pekerja kontrak LHDN yang ditamatkan perkhidmatan berkumpul di perkarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sebelum ini, MTUC memaklumkan pihaknya terkejut dengan tindakan pengurusan LHDN menamatkan khidmat 958 kakitangan kontrak, mulai 1 Jan 2023.

Susulan itu, LHDN berkata, pihaknya sudah memaklumkan lebih awal pekerja yang akan diberhentikan 1 Jan tahun lalu bagi membolehkan mereka mencari pekerjaan baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.