Perjelas cadangan tubuh jabatan khas bela kanak-kanak

Perjelas cadangan tubuh jabatan khas bela kanak-kanak

Penjelasan lanjut perlu diberikan sama ada institusi itu seperti kementerian kanak-kanak atau hanya badan koordinasi rentas agensi dan kementerian semata-mata.

Kumpulan dan pertubuhan sivil membela kanak-kanak berkata jabatan dicadangkan itu perlu meliputi pencegahan penderaan, eksploitasi dan segala bentuk keganasan terhadap golongan itu.
PETALING JAYA:
Kumpulan pembela kanak-kanak dan pertubuhan sivil mahu penjelasan lanjut diberikan berhubung pembentukan jabatan atau institusi khas menjaga kebajikan dan kepentingan golongan itu.

Khamis lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri, berkata cadangan berkenaan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan pihak kementerian sedang meneliti perkara terbabit sebelum membuat keputusan.

Menyifatkannya sebagai “pelan sangat penting” yang dikemukakan kerajaan demi kebaikan kanak-kanak di negara ini, kumpulan itu berkata, isu berbangkit utama mengenai ruang lingkup dan kuasa jabatan yang dicadangkan itu.

“Adakah ia seperti kementerian kanak-kanak yang bertanggungjawab penuh terhadap segala isu kanak-kanak (dan) mengatasi kementerian lain yang mempunyai tanggungjawab kepada kanak-kanak dengan diberikan kuasa menentukan dasar?” soal mereka dalam kenyataan.

“Atau adakah ia sekadar badan koordinasi antara kementerian serta agensi berbeza berhubung isu kanak-kanak?”

Kenyataan bersama itu didokong Pesuruhjaya Kanak-Kanak-Kanak Suhakam Noor Aziah Awal, Pengasas Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin dan perunding kanak-kanak, Dr Amar-Singh HSS yang juga penasihat Majlis Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-kanak.

Pertubuhan sivil lain yang turut menyokong, Persatuan Peguam Wanita, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia dan Montessori Association Malaysia.

Mereka berkata, jabatan dicadangkan itu perlu memberi penumpuan kepada perkara kritikal seperti pencegahan penderaan, eksploitasi dan semua bentuk keganasan terhadap kanak-kanak.

Ia sepatutnya perlu mewujudkan sistem pengurusan data dan perlindungan kanak-kanak rentas agensi dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kesihatan terutama kepada kanak-kanak terpinggir.

Jabatan dicadangkan itu juga perlu menambah baik status kanak-kanak terpinggir, termasuk mereka yang berada dalam kelompok migran, pelarian dan tidak bernegara.

Selain itu, perlu ditekankan mengenai menamatkan kemiskinan kanak-kanak dalam kalangan Orang Asli, selain di pedalaman Sabah dan kawasan persekitaran bandar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.