Jangan buat spekulasi kebakaran Wisma Jakel, kata polis

Jangan buat spekulasi kebakaran Wisma Jakel, kata polis

Polis berkata ketika ini pasukan JBPM Selangor sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran.

Gedung tekstil Jakel di Shah Alam dilaporkan terbakar awal pagi semalam dan bomba menerima panggilan kecemasan mengenainya pada 7.08 pagi. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Polis meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan punca kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7 awal pagi semalam.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata ketika ini pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran.

“Polis pohon orang awam tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau andaian berkaitan perkara ini.

“Kita kena hormati perasaan mereka yang alami kerugian serta pekerja-pekerja yang hilang sumber pendapatan akibat insiden ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai beberapa dakwaan di media sosial kononnya kebakaran di gedung tekstil terkemuka itu adalah disengajakan.

Beliau berkata, setakat ini polis belum menerima laporan berkaitan perkara itu (sengaja dibakar) daripada mana-mana pihak.

Katanya, tindakan undang-undang boleh diambil oleh pemilik premis sekiranya laporan siasatan bomba membuktikan perkara sebaliknya.

Gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi semalam dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada 7.08 pagi.

Susulan itu bomba Selangor hari ini menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi menjalankan kerja forensik untuk mengenal pasti punca kebakaran di Wisma Jakel itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata syarikatnya mengalami kerugian awal dianggarkan hampir RM100 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.