2 kali bincang feri ikonik P Pinang dengan Anwar, kata Guan Eng

2 kali bincang feri ikonik P Pinang dengan Anwar, kata Guan Eng

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berharap Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang akan bersiap sedia melaksanakan sebarang keputusan bakal dibuat Putrajaya.

Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang yang beroperasi lebih 126 tahun ditamatkan pada 2020.
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berharap Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan bersiap sedia melaksanakan sebarang keputusan bakal dibuat kerajaan perpaduan berhubung perkhidmatan feri ikonik di negeri itu.

Pengerusi DAP itu berkata, sudah dua kali beliau berbincang berhubung feri ikonik dengan Anwar Ibrahim sejak dilantik sebagai perdana menteri November lalu.

“Kami telah adakan perbincangan konstruktif…saya hanya suarakan harapan kepada SPPP, sekiranya kerajaan buat apa-apa keputusan, mereka harus bersiap sedia melaksanakannya,” katanya menurut Bernama.

Lim bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada perkhidmatan feri ikonik itu akan kembali beroperasi bawah kerajaan perpaduan.

Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang yang beroperasi lebih 126 tahun ditamatkan pada 2020.

Perkhidmatan feri sedia ada hanya boleh digunakan penunggang motosikal serta basikal, manakala bot laju untuk membawa penumpang individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.