Shahidan umum lancar NGO Pertubuhan Perpaduan Ummah

Shahidan umum lancar NGO Pertubuhan Perpaduan Ummah

Shahidan Kassim menafikan ia ditubuhkan bagi 'melawan' NGO Muafakat Nasional yang diketuai bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim berkata Pertubuhan Perpaduan Ummah berperanan menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mengumumkan penubuhan Pertubuhan Perpaduan Ummah selepas menerima kelulusan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) 29 Dis lalu.

Shahidan berkata, NGO itu berperanan menyatukan masyarakat di Malaysia tanpa mengira parti selain memfokuskan kepada kerja-kerja kebajikan.

Shahidan yang juga Setiausaha Agung penajanya berkata pertubuhan itu juga akan diperluaskan ke semua 222 Parlimen di seluruh negara dalam memastikan usaha membentuk kerjasama seluruh rakyat selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Untuk (organisasi), saya adalah pemudah cara sahaja. Selepas ini, pertubuhan ini akan dipimpin orang yang lebih hebat dan berjenama,” katanya, menurut Astro Awani.

Shahidan turut berharap pelancaran pertubuhan itu dilaksanakan di Parlimen Arau bagi memastikan struktur organisasinya dapat dicontohi di Parlimen yang lain.

Sementara itu Shahidan menafikan penubuhan NGO itu bagi ‘melawan’ NGO Muafakat Nasional yang diketuai bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa.

Beliau turut menolak mempunyai masalah dengan Annuar.

“Sesiapa sahaja jika hendak masuk kedua-dua NGO ini pun tidak apa, tidak ada masalah.

“Masuk tiga atau empat tidak beri apa-apa kesan, tetapi saya nyatakan bahawa Perpaduan Ummah lebih tekankan kepada kebajikan dan manifesto supaya semua pihak selepas pilihan raya mesti bersatu padu,” kata Shahidan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.