Jakel rugi RM100 juta gedung terbakar

Jakel rugi RM100 juta gedung terbakar

Bagaimanapun ia hanya membabitkan nilai bangunan manakala jumlah kerugian sebenar belum dapat dianggarkan.

Gedung Jakel di Seksyen 7 Shah Alam musnah dalam kebakaran pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemilik syarikat tekstil Jakel dianggarkan mengalami kerugian hampir RM100 juta selepas gedungnya di Seksyen 7, Shah Alam, terbakar pagi tadi.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata bagaimanapun ia hanya membabitkan nilai bangunan, manakala jumlah sebenar kerugian belum dapat dianggarkan.

Katanya, kebakaran berlaku sekitar 7 hingga 7.15 pagi dan beliau dimaklumkan kejadian itu oleh adiknya yang juga pengurus Jakel cawangan berkenaan.

“Bangunan ini nilainya sekitar RM100 juta membabitkan 19 rumah kedai dan lima rumah kedai lima tingkat. Api dipercayai bermula dari bahagian pakaian lelaki di tingkat satu, bagaimanapun punca sebenar belum diketahui.

“Ini kerugian besar kepada syarikat bagaimanapun kami reda dengan ketentuan Allah dan saya yakin ada hikmah serta yakin Allah akan ganti dengan lebih baik. Sebagai orang Islam kita kena percaya,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, memaklumkan kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Katanya, polis menerima maklumat mengenai kejadian sekitar 7 pagi dan anggota bertugas menjalankan kawalan lalu lintas dan keselamatan di lokasi kejadian.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.