
Baginda berdua dalam perutusan Tahun Baharu 2023 menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office bertitah supaya usaha itu dilaksanakan dalam mengatasi segala permasalahan dan cabaran sedang didepani oleh negara yang disayangi.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin tidak mahu ada lagi golongan khususnya ahli politik bertelagah sesama sendiri dan mementingkan kepentingan peribadi semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab masing-masing untuk berkhidmat kepada rakyat.
Menurut hantaran itu, di tahun baharu ini juga, baginda berdua berharap rakyat terus mengutamakan keamanan dan keharmonian serta mengelak daripada menyentuh isu sensitif yang boleh memudaratkan ikatan perpaduan sesama kaum.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor bertitah mahu semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk membina kembali negara yang semakin pulih selepas fasa pandemik dan membawa semula negara ke peringkat lebih baik dalam semua aspek termasuk sosial, politik dan ekonomi.
Dalam pada itu, baginda berdua mendoakan 2023 akan membawa sinar baharu yang lebih gemilang dan cemerlang untuk sekalian rakyat.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin menyeru segenap kelompok masyarakat menyematkan azam tahun baharu untuk berjimat cermat dalam menguruskan ekonomi dan gaya hidup harian masing-masing khususnya dalam persekitaran prospek ekonomi dunia yang agak membimbangkan tahun depan.