Kes budak maut didera, reman 5 suspek dilanjut hingga 7 Jan

Kes budak maut didera, reman 5 suspek dilanjut hingga 7 Jan

Mereka sebelum ini direman tujuh hari yang berakhir hari ini bagi membantu siasatan kes di Senggarang, Batu Pahat itu.

Mangsa sebelum ini dilaporkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di ICU Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor selepas pengsan di sebuah rumah di Senggarang. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Tempoh reman terhadap lima suspek kes dera kanak-kanak empat tahun di Senggarang, Batu Pahat dilanjutkan lagi sehingga 7 Januari ini oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat.

Lanjutan terhadap lima suspek berusia 15 hingga 37 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Zubaidah Mahat selepas membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat Mohd Shafiq Mohd Salleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Batu Pahat, menurut Berita Harian.

Suspek termasuk pasangan suami isteri dan kakak kandung mangsa sebelum ini telah direman selama tujuh hari yang berakhir hari ini bagi membantu siasatan.

Terdahulu, mereka kelihatan tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 8.30 pagi sambil diiringi polis.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor selepas pengsan di sebuah rumah di Senggarang.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat mengesahkan punca kematian kanak-kanak malang itu akibat hentakan objek keras dan tumpul.

“Pada awalnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, namun pihak polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.