
Beliau berkata, hasil yang dikutip itu merupakan prestasi terbaik kerajaan negeri selepas bersama membentuk Malaysia pada 1963, yang juga antara bukti kesungguhan kerajaan Sabah pada masa ini membangunkan Negeri di Bawah Bayu itu.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak akan berpuas hati; sebaliknya untuk 2023, kerajaan Sabah akan terus melaksanakan dasar kukuh bagi membawa lebih banyak pelaburan dan mewujudkan lebih banyak “spin-offs” ekonomi dengan belanjawan negeri berjumlah RM5.138 bilion.
“Kerajaan negeri juga bakal menerima pelaburan asing serta domestik, terbaru projek keluli hijau bersepadu RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang.
“Sabah dijangka mengutip hasil RM2.45 bilion setahun menerusi royalti dan Cukai Jualan Negeri daripada minyak dan gas,” katanya.
Beliau menekankan pentingnya mempunyai kestabilan politik bagi meneguhkan perancangan masa depan.
“Semua kejayaan dan perancangan masa depan ini tidak akan bermakna jika kita tidak mempunyai persekitaran yang kondusif untuk mencapai matlamat pembangunan,” katanya.