
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata wanita berusia 65 tahun itu cedera di kepala manakala kanak-kanak berkenaan cedera di bahagian kaki.
Beliau berkata, susulan menerima panggilan kecemasan pada 1.46 pagi, seramai 10 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang digerakkan dan tiba di lokasi kejadian berhampiran Plaza Tol Rawang arah selatan, kira-kira 40 minit kemudian.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang terbabas dan terbalik di tepi lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kedua-dua mangsa cedera berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Zainal Mohamed Mohamed, berkata siasatan awal mendapati bas dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) itu dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun.
Menurutnya, setibanya di KM443, bas yang dipandu di lorong paling kiri itu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke longkang dan seterusnya terbalik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Mohd Shaifuddin Mohd Nor menerusi talian 017 6645812 atau 03 61262222.