
Pengarah Wartawan Tanpa Sempadan Asia Pasifik, Daniel Bastard, berkata ia “amat membimbangkan” apabila tiada sesiapa dalam kerajaan Malaysia dapat menyatakan di mana Fawad berada.
“Jangan kita tertipu. Jika Fawad masih berada di Malaysia, bermakna pihak berkuasa tempatan tidak mampu melindungi pelarian di bumi sendiri, yang jelas menunjukkan ketidakcekapan.
“Jika dia benar-benar telah dihantar pulang, bermakna mereka secara sedar melanggar kewajipan antarabangsa terhadap Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR),” katanya dalam kenyataan.
Fawad, 41, yang memegang kad pelarian UNHCR meminta perlindungan suaka politik di Malaysia bagi mengelak dikenakan tindakan di Pakistan berhubung artikelnya di beberapa akhbar berbahasa Inggeris berkaitan rasuah dalam kerajaan.
Semalam, peguam P Waytha Moorthy mendakwa Fawad telah ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia atas arahan kerajaan Pakistan walaupun mempunyai semua dokumen berkaitan daripada UNHCR.
Beliau berkata, ini berdasarkan apa didedahkan oleh seorang pegawai imigresen yang bersimpati dengan nasib pasangan Fawad, Syeda. Bagaimanapun, tambahnya, tiada rekod rasmi penahanan itu dalam sistem data imigresen.
Sementara itu, sumber daripada Kementerian Luar, yang mahu dirahsiakan identiti kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media, memberitahu FMT Fawad tidak ditahan atau dihantar pulang.
Bastard berkata, Kementerian Dalam Negeri mesti menjelaskan keadaan dengan segera, sambil menambah kegagalan berbuat demikian akan mencerminkan kebebasan akhbar Malaysia.