
Ketua Polis Hulu Selangor Suffian Abdullah berkata, lelaki berusia 33 tahun itu, pembantu pusat jagaan berkenaan, ditahan pada 1 pagi.
Menurutnya, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan pada Ahad lepas daripada pekerja pusat jagaan berkenaan bahawa seorang lelaki berusia 52 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di biliknya di pusat jagaan itu.
“Mangsa, seorang pesakit mental dan penghuni pusat jagaan itu, diperiksa oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Rasa sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, tambahnya.
“Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan cedera dan lebam pada kaki dan tangan dipercayai akibat objek tumpul.”
Suffian berkata, motif kejadian masih dalam siasatan.
Hasil ujian saringan air kencing lelaki yang ditahan itu didapati negatif dadah dan dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurut Suffian, lelaki terbabit direman tujuh hari sehingga 2 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.