‘Penantian menyeksa,’ 6 tahun berlalu, 28 keluarga mangsa banjir masih ‘rindu’ rumah baharu

‘Penantian menyeksa,’ 6 tahun berlalu, 28 keluarga mangsa banjir masih ‘rindu’ rumah baharu

Saban tahun, penduduk Batu 7 Changkat Jong menanggung kerugian ribuan ringgit apabila rumah digenangi air dan peralatan rosak perlu diganti.

Penduduk Batu 7, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan yang saban tahun berhadapan banjir termenung berharap penempatan baru yang dijanjikan dapat dilaksanakan secepat mungkin.
TELUK INTAN:
Tahun baharu yang menjelang tidak membawa sebarang erti kepada 28 keluarga di sini yang terpaksa mengharungi banjir termenung sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

Tiada keceriaan menyambut 2023, sebaliknya, penduduk Batu 7 Changkat Jong kecewa dan semakin hilang sabar kerana perumahan baharu lagi selamat yang dijanjikan enam tahun lepas belum menjadi kenyataan.

Saban tahun, mereka menanggung kerugian ribuan ringgit apabila rumah digenangi air dan peralatan seperti perabot, dapur gas, peti sejuk, dan televisyen rosak.

Justeru, wakil penduduk Omar Alang, 56 tahun, merayu kerajaan negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) “untuk tidak mengabaikan kami.”

Omar Alang.

Beliau mendakwa pada 2017, Nadma mengisytiharkan kediaman mereka tidak selamat dan kerajaan meluluskan peruntukan untuk perumahan baharu dibina atas tanah milik kerajaan negeri yang selamat daripada risiko banjir.

“Kami penduduk Lorong Mesra, Changkat Jong seramai 28 keluarga, setuju dengan projek penempatan yang dah diwartakan pada 2017, tapi projek ini belum terlaksana.

“Nadma telah meluluskan pemindahan kami. Kami difahamkan, peruntukan pun sudah disediakan, kerajaan negeri cuma sediakan tapak sahaja,” katanya menjelaskan butiran projek penempatan itu yang dimaklumkan kepada penduduk.

Tinjauan FMT mendapati tapak projek itu di Kampung Ayer Hitam terbengkalai. FMT masih menantikan maklum balas daripada Nadma dan kerajaan negeri Perak berhubung projek penempatan semula mangsa banjir termenung berkenaan.

Setiap tahun barang rumah rosak

Zakiah Husin.

Penduduk, Zakiah Husin, 67, berkata beliau tidak lagi berupaya menanggung kerugian apabila rumah saban kali digenangi air.

“Memang tiap tahunlah kami anak beranak kena menghadap banjir. Ini dah berapa kali banjir, tengoklah kipas, televisyen, peti ais, tilam, perabot semua rosak, tapi nak buat macam mana, setiap tahunlah berganti barang elektrik, perabot.

“Dengan musim hujan ini, tahun ini dekat lima kali kena banjir. Air baru surut, pindah kemas, lepas itu banjir balik, kemas balik, sudah tidak larat lagi sebenarnya,” katanya.

Tambatan tak siap punca banjir makin teruk 

Seorang lagi penduduk, Halijah Ahmad berkata, antara punca banjir makin teruk di kawasan itu adalah projek tambatan banjir yang masih belum dapat disiapkan.

Halijah Ahmad.

Menurut Halijah, pihak yang mengusahakan tambatan banjir tersebut seharusnya meminta pandangan penduduk sebelum memulakan projek kerana penduduk yang faham tentang keadaan dan situasi banjir di kawasan ini.

“Saya harap pihak yang berwajib teliti balik projek tambatan banjir itu, minta pandangan orang kampung juga sebab mereka duduk lama di sini dan lagi faham keadaan kawasan.

“Selagi projek ini dibuat tidak ikut cara yang betul, memang susah nak selesaikan masalah banjir ini,” kata Halijah sambil menambah, pendapatan penduduk terjejas kerana kebanyakan mereka mengharapkan hasil tanaman.

Sebelum ini, Menteri Besar Saarani Mohamad mengesahkan, sebanyak 28 buah rumah akan dibina di Kampung Ayer Hitam, Teluk Intan, bagi memindahkan penduduk yang sering dilanda banjir di sekitar Jalan Changkat Jong.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM3.94 juta diluluskan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) pada 2020, tetapi tertangguh kerana wabak Covid-19.

Rosnah Mat Zain.

Sehubungan itu, LPHP akan memohon peruntukan tambahan kerana kos projek kini meningkat selepas berlaku kenaikan harga bahan binaan.

Sementara itu, wakil NGO Persatuan Kebajikan Nuansa (PKN), Rosnah Mat Zain berharap agar pihak yang bertanggungjawab tampil segera membina unit rumah yang dijanjikan kepada mangsa banjir berkenaan.

Mengikuti perkembangan banjir di kawasan itu, Rosnah berkata, rata-rata penduduk di situ, yang tergolong dalam B40, akan terus menderita jika terus tinggal di kawasan berisiko banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.