Pemakaian pelitup muka bagi pengendali makanan di Selangor bermula 1 Jan

Pemakaian pelitup muka bagi pengendali makanan di Selangor bermula 1 Jan

Majlis Perbandaran Selayang ingatkan semua penyedia dan pengendali makanan mematuhi peraturan itu supaya tidak dikenakan tindakan kompaun.

Kerajaan Selangor menetapkan peraturan baharu pemakaian pelitup muka itu sebagai salah satu kaedah untuk menjaga kebersihan dan kesihatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengingatkan semua penyedia dan pengendali makanan di Selangor untuk mematuhi arahan pemakaian pelitup muka yang berkuatkuasa mulai 1 Jan ini.

MPS menerusi satu hantaran di Facebook memberitahu, peringatan itu selaras arahan kerajaan negeri yang mensyaratkan pemakaian pelitup muka kepada penyedia, pengendali makanan dan minuman di Selangor bermula tahun depan.

Peraturan baru itu sebagai salah satu kaedah untuk menjaga kebersihan.

“Tindakan kompaun akan dikenakan kepada mereka yang ingkar arahan tersebut yang menjadi antara syarat bagi kelulusan lesen perniagaan,” kata MPS.

Sebelum ini Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka dalam kalangan pengusaha restoran dan penjaja bermula tahun depan.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata pemantauan dan penguatkuasaan akan dijalankan Jabatan Pelesenan dan Penjaja dengan bantuan Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan.

Katanya, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 7 Sept lalu mensyaratkan pemakaian pelitup muka kepada penyedia, pengendali makanan dan minuman di Selangor dan Jabatan Pelesenan dan Penjaja telah mengeluarkan arahan supaya mematuhi perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.