
Gopal Sri Ram berkata, seorang hakim akan mengambil pendekatan menyeluruh kerana beliau telah mengendalikan kes jenayah dan sivil.
“Beliau akan tahu di mana keseimbangan keadilan bersebelah. Keadilan, bukannya pandangan berat sebelah, akan menjadi pendekatan hakim,” katanya kepada FMT.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata demikian menjawab kenyataan Charles Hector daripada gerakan Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet) bahawa kerajaan tidak sepatutnya melantik hakim bersidang sebagai peguam negara.

Hector berkata, pelantikan sedemikian akan menimbulkan persoalan mengenai kebebasan badan kehakiman dan hakim sendiri.
Beliau mencadangkan peguam negara dilantik dalam kalangan pegawai kanan awam seperti peguam persekutuan, pendakwa dari Jabatan Peguam Negara atau peguam.
Sri Ram berkata, seorang hakim yang berpengalaman boleh memberi pendapat yang bernas atas set fakta tertentu yang diberikan oleh kerajaan kerana beliau dilatih untuk menumpukan kepada isu pusat.
“Beliau boleh memberikan jawapan yang mudah difahami oleh semua orang,” katanya.
Selain itu, sebagai pendakwa raya, beliau dapat memastikan tiada pendakwaan yang sia-sia dibawa, yang mana bakal menjimatkan sumber dan masa mahkamah.
Beliau berkata, hubungan peguam negara dengan badan kehakiman juga tidak akan bersifat konfrontasi kerana keterikatannya dengan institusi itu.
Sri Ram berkata, Singapura menjadi contoh yang bagus di mana penyandang dan bekas hakim seperti Chan Sek Keong, Sundaresh Menon, Stephen Chong dan V K Rajah berkhidmat dengan baik sebagai peguam negara.
Pada 16 Dis, The Star melaporkan, memetik sumber, bahawa hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Said serta hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ahmad Fairuz Zainol Abidin sedang dipertimbangkan untuk jawatan itu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
FMT juga melaporkan bahawa tiga hakim bersidang lain turut dipertimbangkan, iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan Zabidin Diah dan hakim Mahkamah Rayuan Yaacob Sam dan Abdul Karim Abdul Jalil.
Sejak 1994, kerajaan telah melantik tiga hakim bersidang sebagai peguam negara, iaitu Allahyarham Mohtar Abdullah, Apandi Ali dan Idrus Harun.