
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata penangguhan selama enam bulan itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan berikutan negara dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun hadapan.
“Saya amat berharap dengan penangguhan tambahan selama enam bulan ini dapat memberikan peluang untuk penyelarasan dan mengimbangi keperluan kewangan yang sedikit sebanyak membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat-syarikat yang menggajikan kurang dari lima orang pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 mula berkuatkuasa sejak 1 Mei 2022 dengan kadar gaji sebanyak RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.
Melalui peraturan sebelum ini, semua majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, diberi pengecualian dan pelaksanaan PGM 2022 sebanyak RM1,500 sebulan berkuatkuasa pada 1 Jan 2023.
Pelaksanaan gaji minimum baharu itu diluluskan kerajaan pada 19 Mac lalu dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 27 April lalu.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih, perlu meneruskan pembayaran gaji minimum sebanyak RM1,500 yang telah berkuatkuasa bermula 1 Mei 2022.
Beliau berkata, ini termasuk majikan menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).
“Justeru itu, majikan yang tidak terlibat dengan penangguhan ini hendaklah terus mematuhi pelaksanaan PGM dengan membayar gaji minimum RM 1,500 sebulan kepada pekerja,” katanya.