Jalan berisiko runtuh, segera baiki, gesa pengendali resort

Jalan berisiko runtuh, segera baiki, gesa pengendali resort

Menurut mereka, beberapa bahagian laluan ke 11 resort ekopelancongan dan lima perkampungan Orang Asli berisiko runtuh.

Pengendali resort di kawasan hutan berhampiran Gopeng, Perak meminta pihak berkuasa peka terhadap keadaan jalan ke lokasi berkenaan. (Gambar Maninderjit Singh)
PETALING JAYA:
Sekumpulan pengendali resort peranginan di kawasan hutan berhampiran Gopeng, Perak, bimbang jalan yang menuju ke lokasi berkenaan akan runtuh, selepas gesaan mereka supaya pembaikpulihan segera dilakukan tidak mendapat sebarang tindak balas.

Menurut mereka, tebing di beberapa bahagian laluan sepanjang 4km Jalan Kampung Pintu Padang yang melintasi Sungai Geroh, telah dibersihkan.

Wakil mereka, Maninderjit Singh berkata, jalan itu bukan saja digunakan untuk sampai ke 11 resort bertema ekopelancongan, malah juga oleh hampir 5,000 penduduk memandangkan ada klinik kesihatan, sekolah rendah dan lima perkampungan Orang Asli – iaitu Kampung Ulu Geruntum, Kampung Kepayang, Kampung Poh, Kampung Ulu Kampar serta Kampung Ulu Groh.

Maninderjit berkata, pengendali resort dan tok batin perkampungan berkenaan telah menulis kepada pihak berkuasa tempatan dan pejabat menteri besar bagi membangkitkan isu kerosakan sepanjang laluan itu. Malah, katanya, beberapa kemalangan kecil juga dilaporkan di situ melibatkan pengguna jalan raya.

“Jalan ini sempit dan hanya satu kereta mampu melaluinya pada satu-satu masa,” katanya kepada FMT. “Ada beberapa kenderaan yang tergelincir dari jalan berkenaan, namun pemandunya tidak mengalami kecederaan serius.

“Pengendali resort dan penduduk mengumpulkan wang sendiri untuk menyenggara jalan itu, namun ini tidak boleh berterusan sampai bila-bila. Jalan ini perlu dilebarkan dan diperbaiki, cerunnya perlu diperkukuh bagi mengelak tanah runtuh.”

Maninderjit berkata, kontraktor telah mendirikan menara 5G di laluan berkenaan baru-baru ini, dan ini telah “menyebabkan kerosakan lebih teruk”.

Difahamkan, penyenggaraan jalan itu di bawah tanggungjawab Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kampar.

“PTG Kampar tidak berbuat apa-apa. Ada satu kawasan antara Kampung Pintu Padang dan Adeline Villa yang berisiko mengalami hakisan. Kami mengesyaki pemilik tanah di hujung jalan telah membersihkan kawasan itu.

“Kami bimbang air semakin meresap ke jalan itu. Kami turut melihat kemunculan beberapa lubang dan bimbang jalan itu semakin terjejas secara perlahan-lahan.”

FMT telah menghubungi pihak berkuasa negeri Perak untuk mengulas perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.