
Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia berkata kerajaan harus menggubal undang-undang untuk mengawal selia perniagaan sedemikian, bagi mewajibkan pengendalinya mendapatkan lesen.
“Pada masa ini, perniagaan sedemikian tidak dikawal selia,” kata presiden persatuan itu Sri Ganesh Michiel kepada FMT, merujuk insiden yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali.
Media sebelum ini melaporkan Father’s Organic Farm tidak dapat memohon lesen tapak perkhemahan kerana permit seumpama itu tidak wujud. Ia turut memetik Jabatan Pertanian antara agensi kerajaan yang memaklumkan perkara itu.
Bagaimanapun, jabatan itu memaklumkan dakwaan berkenaan tidak benar.
Sementara itu, Ganesh menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyemak perniagaan sedemikian, termasuk yang ditempah menerusi Airbnb.
Ganesh sebelum ini menggesa pengawalseliaan industri itu pada September lalu malah ketika itu menyifatkan kegagalan berbuat demikian memberi ancaman kepada hotel dan industri perhotelan.
Jelasnya, pengawalseliaan industri itu akan membantu operasi mencari dan menyelamat serta mengesahkan jumlah sebenar mangsa di tapak sekiranya berlaku tragedi seperti di Batang Kali.
Katanya, industri yang terkawal juga akan memudahkan tindakan diambil terhadap pengendali yang ingkar.
“Kegagalan untuk mengawal selia industri ini bermakna pihak berkuasa tempatan akan bertanggungjawab sekiranya tragedi seperti itu berulang.”