
Charles Hector dari Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet) berkata, pelantikan seperti itu mampu mencetuskan pertikaian terhadap kebebasan badan kehakiman dan hakim-hakim.
“Adakah rakyat akan yakin dengan kebebasan hakim-hakim ini dalam kes melibatkan perdana menteri atau kerajaan?” soal Hector yang juga jurucakap NGO itu dalam kenyataan.
Pada 16 Disember lalu, The Star memetik sumber berkata bahawa Hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Md Said, dan Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh serta Ahmad Fairuz Zainol Abidin antara nama yang dipertimbangkan untuk jawatan itu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Susulan itu, FMT melaporkan tiga hakim yang sedang berkhidmat dilihat dipertimbangkan Anwar untuk jawatan itu, iaitu Hakim Mahkamah Tinggi Zabidin Diah dan Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Yaacob Sam serta Abdul Karim Abdul Jalil.
Bagaimanapun, Hector menegaskan hakim-hakim berkenaan sewajarnya dibiarkan terus kekal dalam jawatan mereka sehingga bersara.
Beliau turut menolak pelantikan hakim yang baru bersara untuk jawatan AG, kerana menyifatkan perlu diberi “tempoh bertenang” sekurang-kurangnya tiga tahun. Menurutnya, ini bagi mengelak persepsi bahawa jawatan itu diberikan sebagai satu ganjaran.
Hector mencadangkan seorang penjawat awam kanan seperti peguam persekutuan atau pendakwa dari Jabatan Peguam Negara, malah juga peguam, lebih wajar dilantik sebagai AG.
Sebelum ini memang menjadi amalan kerajaan untuk melantik hakim yang sedang berkhidmat sebagai AG, antaranya Allahyarham Mohtar Abdullah, Apandi Ali, malah penyandang jawatan itu Idris Harun.