Anwar dinasihat jangan hirau komen negatif Dr M

Anwar dinasihat jangan hirau komen negatif Dr M

Bekas PM itu sebelum ini menyatakan keraguannya terhadap kemampuan Anwar Ibrahim untuk memimpin, berdasarkan prestasinya sebagai pemangku PM pada 1990-an.

Komen negatif Dr Mahathir Mohamad terhadap Anwar Ibrahim tidak harus diambil serius, kata bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
PETALING JAYA:
Ahli politik dan penganalisis menasihatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak mengendahkan kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak yakin dengan kemampuan Anwar untuk memimpin.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Nazri Aziz berkata, pendapat Mahathir “tidak penting”, berdasarkan prestasinya pada PRU15 baru-baru ini.

“Beliau bukan sahaja kalah di Langkawi malah kehilangan deposit bersama ahli parti lain (Pejuang) yang dipimpinnya,” kata Nazri.

Beliau berkata, ini bermakna Mahathir tidak lagi “dihormati” rakyat, jadi Anwar harus diberi peluang untuk memimpin negara.

“Anwar kini bebas untuk melakukan apa yang baik untuk negara, dan kita harus membenarkannya berbuat demikian,” katanya.

Mahathir mengaitkan keraguannya dengan zaman Anwar menjadi timbalannya pada 1990an, apabila beliau “gagal” berfungsi sebagai pemangku perdana menteri dan menangani situasi ekonomi negara.

Bagaimanapun, Nazri menyangkal perkara ini dengan berkata: “Saya bercakap dengan Anwar pada masa itu dan beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang kuasa. Walaupun sedang bercuti, (Mahathir) sentiasa mengawal.”

Beliau berkata, pengetahuan Anwar sebagai bekas menteri kewangan memberikannya keupayaan untuk melepaskan negara daripada krisis ekonomi semasa.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, pandangan negatif Mahathir terhadap Anwar adalah “sesuatu yang konsisten” dan tidak harus diambil serius.

“Setakat ini, strategi dan kenyataan Anwar proaktif dan keutamaannya tepat,” katanya.

Santiago berkata, timbul isu-isu seperti pengambilan pekerja asing dan keterjaminan makanan yang memerlukan perhatian perdana menteri, tetapi menasihatkan agar semangat Anwar tidak dilemahkan, memandangkan banyak perkara yang perlu beliau tangani.

“Negara harus berganding bahu dengannya kerana kita sedang berdepan ekonomi yang memerlukan semua orang menggembleng minda dan usaha ke arah kejayaan,” katanya.

Penganalisis Azmi Hassan berkata, Anwar “jauh ke hadapan” berbanding perdana menteri terdahulu, seperti Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memetik tempoh dua minggu yang diberikan Anwar bagi kementerian dan agensi menganalisis dan membincangkan subsidi bersasar untuk rakyat, sejurus selepas pelantikannya sebagai perdana menteri.

“Anwar tegas dalam apa yang beliau mahu dan apa yang perlu dilakukan. Beliau berada di tempat duduk pemandu dan semua kementerian hanya menunggu arahannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.