Air pasang besar: 38 lagi rumah roboh di Kampung Forest

Air pasang besar: 38 lagi rumah roboh di Kampung Forest

Ia menjadikan jumlah keseluruhan rumah yang roboh akibat fenomena itu kini adalah sebanyak 108 unit.

Ketua Polis Sandakan Abdul Fuad Abdul Malek berkata jumlah mangsa ditempatkan di PPS kini juga meningkat kepada 684 orang. (Gambar Bernama)
SANDAKAN:
Sebanyak 38 lagi rumah atas air di Kampung Forest di sini roboh akibat fenomena air pasang sejak malam tadi.
Abdul Fuad Abdul Malek.

Ketua Polis Sandakan Abdul Fuad Abdul Malek berkata sehingga 10 pagi tadi, terdapat pertambahan jumlah rumah roboh akibat fenomena berkenaan kepada angka sah iaitu 70 yang direkodkan semalam susulan kejadian malam Sabtu (24 Dis) lepas.

“Pada pagi tadi, kita kenal pasti sebanyak 38 buah rumah telah roboh, menjadikan jumlah keseluruhan 108 buah rumah.

“Kemudian, di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 telah meningkat menjadikan jumlah 684 orang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Forest di sini hari ini.

Fuad bersyukur ramai penduduk yang tinggal di pesisir pantai akur kepada nasihat pasukan keselamatan untuk meninggalkan rumah malam tadi sehingga tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau sekali lagi mengulangi nasihat sama kerana dijangkakan air pasang besar akan berlaku lagi malam ini.

“Sepertimana semalam, kita telah plotkan beberapa kenderaan dan juga pegawai serta anggota untuk memindahkan lebih awal penduduk yang berada di perumahan pesisir pantai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.