LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi

LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi

Air Selangor berkata bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada pengguna.

Semalam, dua Loji Rawatan Air (LRA) di Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas susulan tumpahan pati minyak wangi susulan nahas lori membawa muatan itu, berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kembali beroperasi semula selepas bacaan pencemaran bau (ton) merekodkan bacaan sifar sebanyak tiga kali berturut-turut, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, pengoperasian semula itu membabitkan proses pembersihan dan rawatan air yang mengambil masa kira-kira 12 jam.

“Selepas proses pembersihan dan rawatan itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada pengguna,” lapor Kosmo.

Semalam, dua LRA iaitu Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) berdekatan Bandar Serenia di Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut telah menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Susulan insiden pencemaran bau itu, sebanyak 472 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.