
Exco Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata sumber air mentah kedua-dua LRA tersebut berjaya disalurkan semula pada 8.30 pagi dan 2 petang tadi selepas bacaan sifar ton direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut.
Lembaga Urus Air Selangor (Luas), agensi kerajaan negeri, dan pihak terlibat lain melaksanakan mitigasi di semua lokasi terbabit, susulan pencemaran bau yang menyebabkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas.
“Sebanyak dua lori tangki sedut dengan kapasiti 11 dan 6 tan digunakan untuk menyedut baki cecair tersebut sepanjang 500 meter aliran longkang. Manakala 45 beg ‘activated carbon’ bersamaan sekitar 1.6 tan diletakkan di lokasi merangkumi longkang lokasi pencemaran, aliran Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih bagi meningkatkan proses nyah bau air sungai.
“Dalam masa yang sama juga tiga ‘oil boom’ dan satu kotak ‘oil pad’ digunakan sebagai langkah pencegahan awal semalam. Tindakan mitigasi pencemaran ini juga dibantu dengan pelepasan air Empangan Sungai Semenyih sekitar 360 juta liter sehari untuk membantu meningkatkan kadar pencairan di Sungai Semenyih,” katanya dalam kenyataan.
Kerajaan Selangor dan Luas akan meneruskan pemantauan rapi di lokasi pencemaran, sebagai langkah siap siaga sekiranya ada lagi penemuan saki baki kesan pencemaran daripada lokasi terlibat.
Semalam, Luas mengaktifkan kod merah dan siasatan mendapati pencemaran itu berpunca daripada satu kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi yang berlaku pada jarak sekitar 6.4 kilometer ke muka sauk Jenderam Hilir dan 18 kilometer ke LRA Bukit Tampoi.