
Pengerusi Dewan Perniagaan Ireland Malaysia Donal Crotty berkata, semakan terhadap syarat sedia ada boleh membuatkan warga asing mempertimbangkan untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat tinggal dan bersara.
“Sekurang-kurangnya kembalikan syarat program seperti empat tahun lepas. Ini membantu merangsang pertumbuhan dan menghabiskan sebahagian stok perumahan yang berlebihan,” katanya kepada FMT.
Program MM2H diperkenalkan bertujuan menarik warga asing tinggal untuk jangka panjang di Malaysia.
Pada Ogos 2021, kerajaan mengumumkan syarat baharu untuk program itu, termasuk pesertanya mesti mempunyai simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta, berbanding antara RM300,000 hingga RM500,000 ditetapkan sebelum ini.
Pendapatan luar negara peserta MM2H juga mesti sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini.
Mereka juga perlu mempunyai aset cair bernilai sekurang-kurangnya RM1.5 juta.
Keputusan itu dipertikai pelbagai pihak termasuk Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi amaran bahawa peraturan baharu itu akan menakutkan pelabur dan menjejaskan pendapatan negara.
Crotty berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh menetap daripada 10 tahun kepada 20 tahun dengan pembaharuan dibuat setiap lima tahun.
“Dengan cara ini, orang ramai lebih cenderung melabur dan berpindah ke negara ini tanpa rasa takut terhadap perubahan jangka pendek,” tambahnya.
Beliau berkata, Malaysia boleh mendapat manfaat daripada “pengetahuan dan kebijaksanaan” warga asing lebih berusia yang boleh menyumbang pada tahap profesional dalam bidang-bidang seperti perundingan, pengajaran dan bimbingan.
“Mungkin kerajaan baharu juga boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan skim rujukan untuk pemegang MM2H sedia ada bagi menarik rakan perniagaan atau rakan lain yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen MM2H Anthony Liew, yang turut menggesa program berkenaan dikaji semula, meminta kerajaan mengurangkan syarat pendapatan bulanan, khususnya buat pesara.
“Sebelum ini, pesara membentuk kira-kira 40% hingga 50% (bawah MM2H) tetapi dengan syarat baharu, jumlahnya telah menurun.
“Mereka (pesara) memberitahu pendapatan bulanan RM40,000 terlalu tinggi dan harus dikurangkan kepada tahap yang lebih boleh diterima,” katanya.
Bagi tempoh menetap minimum 90 hari, Liew berkata, kerajaan perlu mengurangkannya kepada 15 hari, terutamanya untuk menyasarkan individu muda yang masih aktif dalam kerjaya mereka, tetapi ingin menjadikan Malaysia rumah kedua mereka.
Beliau juga berkata, umur minimum peserta juga perlu diturunkan kepada 25 tahun supaya ahli profesional muda yang bekerja dalam sektor IT atau data raya juga boleh menyumbang kepada ekonomi negara.
Ogos lepas, menteri dalam negeri ketika itu, Hamzah Zainudin berkata, terdapat 267 permohonan baharu untuk program itu sejak ia disambung semula selepas penamatan sekatan Covid-19.
Namun, seramai 1,461 orang telah menarik diri daripada program itu dalam tempoh September 2021 hingga Jun 2022.