

Menikmati segelas kopi pastinya memberi kepuasan kepada sesiapa sahaja tidak kira mereka memilih latte, kapucino atau ‘kopi o’ ais.
Berikut lima lokasi di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia untuk memuaskan hati peminat kopi.
1. People’s Park Chang Jiang White Coffee, Ipoh
Terletak di Ipoh Riverfront, kedai kopi unik ini menampilkan hiasan yang mengingatkan pengunjung kepada zaman dahulu.
Kafe ini yang dibuka pada tahun 1970 terkenal dengan kopi putihnya yang pekat.
Bercakap kepada FMT, pemilik generasi kedua Kong Kin Loong berkongsi bahawa biji kopi di kedai itu dipanggang di kilang mereka di Ipoh. Ia dibeli di pasaran tempatan selain Indonesia dan Vietnam.

Kopi mereka begitu popular sehingga mendapat permintaan di negeri lain dan turut dieksport ke luar negara.
Kong juga merupakan individu di sebalik penyediaan barangan antik yang dijadikan penyeri untuk kafe itu. Beliau membaikinya supaya kelihatan indah di mata pengunjung.
Secara keseluruhannya, kafe itu bukan hanya menyediakan secawan kopi enak dan makanan lazat tetapi turut menyediakan pengalaman unik untuk menikmati suasana di zaman dahulu.
People Park Chang Jiang White Coffee
Kompleks Bangunan Taman Persisiran Sungai Kinta
Taman Rakyat
Jalan Sultan Iskandar
30000 Ipoh
Perak
2. Kopikupi Kampung, Sungai Besar, Selangor

Kicauan burung yang gemersik dan kehijauan sawah padi memberi ketenangan kepada pengunjung yang datang ke Kopikupi Kampung.
Kafe itu dibuka pada Oktober tahun lalu oleh Mohd Fauzi Azmi. Ia adalah rumah kayu “kampung” dua tingkat yang menawan dan untuk masuk, pelanggan perlu buka kasut atau sandal, sama seperti adab berkunjung ke rumah kenalan.
Antara menu disediakan adalah latte, karamel macchiato, kopi Vietnam dan “kopi kampung”, ramuan susu pekat yang disajikan dalam cawan vintaj yang biasa digunakan di kopitiam. Bagi yang sukakan kelainan, cubalah biscoff dan banana latte.

Bercakap kepada FMT, Fauzi, 53, berkata dia memanggang biji kopi itu sendiri. Tiada marjerin atau gula digunakan. Beliau membelinya dari Brazil dan Guatemala selain Ethiopia serta India.
Anda boleh menikmati kopi dengan memesan snek ringan seperti roti bakar, nugget, dan “kek batik”.
Kopikupi Kampung
Simpang 3, Loji Sungai Limau
45300 Sungai Besar
Selangor
3. Chop Guan Kee , Sungai Pelek, Selangor

Terletak di premis lama berstruktur kayu yang telah diubah suai, kedai kopi ini juga mempunyai sejarah yang unik.
Semuanya bermula pada tahun 1943 apabila Teo Hoh Hwa yang berhijrah dari China mula memproses dan menjual kopi Liberica dari ladang-ladang berhampiran.
Pada tahun 1971, anaknya Choon Fung, mula memanggang biji kopi ini dan membekalkan serbuk kopi itu ke kedai kopi dan kedai runcit di Sungai Pelek.
Hari ini, anak perempuan Choon Fung, Shao Hui, Yu Yin dan Jerrine, menjalankan perniagaan itu.

Pada Januari 2022, mereka membuka sebuah kafe yang indah. Antara yang menarik di sini ialah kopi susu tradisional Nanyang, kopi santan dan kopi buah naga.
Secara keseluruhannya, kedai kopi ini merupakan gabungan antara moden dan tradisional yang mencerminkan intipati perniagaan keluarga ini.
Bercakap kepada FMT, Jerrine, 29, berkongsi bahawa datuk mereka menamakan perniagaan itu “Chop Guan Kee”, yang bermaksud “mengingat akar umbi” kerana beliau berharap agar warisnya sentiasa mengingati keluarga mereka dan bersyukur.
Chop Guan Kee
355, Kampung Baru
Sungai Pelek
43950 Selangor
4. Calanthe Art Café, Melaka

Mula beroperasi pada 2005, Calanthe Art Café bukan sahaja berbaloi untuk dikunjungi kerana mempunyai hiasan dalaman yang indah tetapi ia turut menyajikan rangkaian luas produk kopi.
Joe Ng Kim Chew membuka premis itu dengan harapan untuk mempamerkan budaya kopi Malaysia – tepatnya kesemua 13 negeri di negara ini – yang menawarkan pelbagai perisa dan aroma yang tulen.

Ng berkata: “Kopi Brazil dan Colombia rasanya hampir sama, tetapi kopi asli Malaysia kami hidangkan sangat berbeza. Selepas mengembara ke pelbagai tempat untuk mencari lebih banyak kopi, saya mendapati Malaysia mempunyai sesuatu yang sangat unik yang boleh kami promosikan kepada dunia.”
Calanthe Art Café
11, Jalan Hang Kasturi
75250 Melaka
Melaka Bandaraya Bersejarah
5. Kopi 434 Muar, Johor

Kiar Am Sai memulakan Sai Kee Coffee pada 1953 di rumah kayu dua tingkat di Jalan Ismail yang berlatarkan pemandangan Sungai Muar.
Dikenali Ah Sai di kalangan rakan dan pelanggan, beliau adalah seorang pengusaha berusia 17 tahun yang berani ketika tiba di Tanah Melayu. Kepakarannya adalah memanggang biji kopi secara tradisional.
Hari ini, Sai Kee Coffee masih beroperasi di lokasi asal tetapi dengan skala lebih besar. Jenama “Kopi Cap 434” juga sinonim dengan negeri terletak di selatan Semenanjung Malaysia itu.
Kemasyhurannya turut menarik pengunjung dari Singapura ke Muar.

Kenapa nama 434? Menurut cerita, untuk memastikan jenama kopinya mudah dikenali, pengasasnya menggunakan tiga digit terakhir pada nombor telefonnya. Nama itu kekal sehingga kini.
Mengeluarkan lebih 10 tan kopi setiap hari, Sai Kee turut menjual pelbagai produk kopi yang dihasilkan untuk memenuhi cita rasa peminat kopi.
Kopi 434
121, Jalan Maharani
84000 Muar
Johor

Jadilah sebahagian Tourism Malaysia’s “Northern Malaysia Coffee Experience”. Ia menawarkan pelbagai pakej dengan diskaun sehingga 10%. Ia boleh diperoleh di kafe dan spa terpilih.
Sebahagian daripada aktiviti turut membabitkan lawatan ke Kilang Antong Coffee di Taiping selain bersantai sambil menikmati kopi dan pastri di Ngopi di Fort Cornwallis Pulau Pinang.
Ambil swafoto dan muat naik gambar terbaik di kafe terpilih dengan meletakkan tanda pagar #MYKopiExperience. Anda berpeluang memenangi hadiah istimewa.
Bermula di zon utara, lebih banyak program seumpama itu akan dianjurkan di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut layari pautan ini.
