Perhilitan gagal batal saman bunuh lotong

Perhilitan gagal batal saman bunuh lotong

Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan Perhilitan dan menetapkan tarikh perbicaraan pada 8 hingga 11 Jan ini.

Perhilitan dilaporkan terpaksa menembak lotong cengkong atau ‘dusky leaf monkey’ selepas menerima lapan laporan serangan haiwan itu terhadap manusia pada Mei 2021.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk membatalkan saman yang difailkan terhadapnya kerana membunuh beberapa ekor lotong cengkong (dusky leaf monkeys) di Port Dickson pada 2021.

Saman itu difailkan terhadap Perhilitan oleh plaintif, Nurul Azreen Sultan, seorang penduduk di Taman Raja Zainal, lokasi haiwan itu dibunuh, dan NGO Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (HIDUP).

April lalu, Perhilitan yang diwakili timbalan pendakwa raya, Mazuin Hashim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu di Mahkamah Tinggi.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili plaintif berkata, Hakim Azizul Azmi Adnan hari ini menolak permohonan Perhilitan dan menetapkan tarikh perbicaraan pada 8 hingga 11 Jan ini.

Rajesh berkata, beliau menyambut baik keputusan mahkamah itu.

“Ini kemenangan besar bagi lotong cengkong dan Perhilitan kini perlu menjelaskan tindakan mereka,” katanya kepada FMT.

Perhilitan dikritik kerana menembak mati lotong berkenaan di kawasan Kuarters Pendidikan Seri Sentosa di Batu 2½ Jalan Pantai, Port Dickson pada 19 Mei 2021.

Pada 25 Mei 2021, Perhilitan dilaporkan berkata, ia terpaksa mengambil langkah itu selepas menerima lapan laporan serangan haiwan itu terhadap manusia dan kes paling serius membabitkan seorang wanita mengalami kecederaan serius di kepala.

Bagaimanapun, plaintif ketika itu dilaporkan berkata, pemeriksaan dengan hospital setempat tidak menemui pesakit yang mengalami kecederaan sedemikian.

Perhilitan berkata, operasi menangkap monyet itu menggunakan perangkap gagal dan tindakan menembak mati adalah pendekatan terbaik untuk mengatasi konflik hidupan liar di kawasan itu selepas mempertimbangkan semua aspek, termasuk jaraknya yang dekat dengan kawasan perumahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.