Hamzah tegur Anwar atas ‘berita palsu’ kempen pilihan raya PN

Hamzah tegur Anwar atas ‘berita palsu’ kempen pilihan raya PN

Setiausaha agung gabungan itu mengingatkan perdana menteri supaya tidak membuat tuduhan secara semberono kerana beliau bukan ketua pembangkang lagi.

Hamzah Zainudin berkata, Anwar Ibrahim patut mengambil tindakan jika terdapat salah laku, bukannya mencemarkan imej kerajaan terdahulu.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin membidas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana menyindir kempen pilihan raya gabungan pembangkang itu dibiayai syarikat perjudian.

Hamzah yang menyifatkannya “berita palsu” berkata, Anwar tidak patut mewujudkan persepsi negatif terhadap PN.

Katanya, Anwar patut mengambil tindakan jika terdapat sebarang salah laku.

Beliau berkata, sebagai menteri kewangan, Anwar tidak patut mencemarkan imej kerajaan terdahulu.

“Anda perdana menteri sekarang, bukan ketua pembangkang lagi.

“Sayalah ketua pembangkang. Jangan buat tuduhan semberono lagi. Tiada lagi berita palsu daripada anda,” katanya dalam catatan Facebook malam tadi.

Awal bulan ini, Anwar dilaporkan berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat “pelanggaran” serius dalam prosedur kerajaan berhubung dakwaan perbelanjaan RM600 bilion oleh pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian, khasnya yang terbabit dalam cabutan khas 4D.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.