Ahli akademik nasihat Samsuri mohon maaf tidak bersama rakyat hadapi banjir

Ahli akademik nasihat Samsuri mohon maaf tidak bersama rakyat hadapi banjir

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar seharusnya tidak merancang perjalanan ke luar negara ketika banjir besar biasa berlaku.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar dikritik kerana berada di luar negara ketika rakyat Terengganu berdepan bencana banjir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mohon maaf segera kepada rakyat Terengganu dan tingkatkan bantuan bencana banjir, gesa penganalisis politik kepada Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar yang dikritik kerana berada di luar negara ketika rakyatnya berdepan musibah.

“Sepatutnya menteri besar dari awal tidak merancang cutinya pada Disember,” kata Ahmad Fauzi Abdul Hamid di Universiti Sains Malaysia kepada FMT.

“…dan bila keadaan makin serius, harapan rakyat supaya dia memendekkan cutinya untuk pulang (tetapi ia tidak berlaku).”

Fauzi tertanya-tanya kenapa sehingga hari ini belum ada permohonan maaf daripada pihak Samsuri, ketika para Exco dan agensi kerajaan bawah beliau menghadapi bencana yang dilaporkan semakin memburuk.

“Memang betul menteri besar ada atau tidak, Exco dan agensi yang turun, tetapi dari segi moral dan prinsip seharusnya MB tidak keluar Malaysia,” kata Azmi Hassan di Akademi Nusantara.

Fauzi pula menambah permohonan maaf tidak akan merugikan politik Samsuri.

“Perasaan merendah diri inilah yang rakyat cari apabila menilai kualiti kepimpinan seorang pemimpin politik,” katanya.

Semalam, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat mengesahkan Samsuri berada di New Zealand dan dijadual pulang hari ini.

Meskipun ketiadaan Samsuri dikritik pelbagai pihak, Fauzi percaya penyokong tegar PAS tidak akan menghukum “kesilapan” itu, kerana mereka diketahui taat kepada pemimpin.

Azmi senada dengan pandangan itu dan percaya isu ini tidak akan memberi kesan kepada parti Samsuri, PAS, pada PRN nanti.

“Pengundi PAS tetap akan mengundi PAS,” katanya.

Setakat semalam, banjir besar yang melanda negeri Pantai Timur mengorbankan lima nyawa dengan kanak-kanak berusia tiga tahun di Terengganu menjadi mangsa korban pertama bencana itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.