Tukang tilik dituduh tipu wanita lebih RM500,000

Tukang tilik dituduh tipu wanita lebih RM500,000

Tertuduh didakwa menipu dengan memperdayakan mangsa mempercayai bahawa dia boleh mengubat penyakit dan menilik nasib.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri dua minggu sekali kepada pegawai penyiasat. (Gambar Reuters)
BUKIT MERTAJAM:
Seorang tukang tilik warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menipu seorang individu melibatkan wang berjumlah RM516,450 dalam kejadian sekitar tahun ini.

N Prakash, 24, membuat pengakuan itu di hadapan majistret Mohd Harith Mohd Mazlan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.

Prakash didakwa menipu M Punitha dengan memperdayakan wanita itu untuk mempercayai bahawa dia boleh mengubat penyakit dan menilik nasib, sehingga mendorong Punitha menyerahkan wang berjumlah RM516,450 kepadanya.

Kesalahan didakwa dilakukan di Lorong Perda Selatan 2, Bandar Perda di sini sekitar Mac hingga Oktober tahun ini bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam R Kumarappan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri dua minggu sekali kepada pegawai penyiasat sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 31 Jan 2023 sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.