Ahli Parlimen memekik dalam Dewan, ‘saya malu’, kata Puad

Ahli Parlimen memekik dalam Dewan, ‘saya malu’, kata Puad

Speaker DUN Johor itu yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat mencadangkan peraturan majlis mesyuarat dipinda agar sidang dapat berjalan lancar tanpa celahan.

Puad Zarkashi berkata beliau kecewa dengan tingkah laku wakil rakyat yang ‘terjerit-jerit’ di Parlimen hingga keluar perkataan ‘beruk’ dan ‘kera’.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen, Puad Zarkashi mencadangkan peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat dipinda bagi membolehkan sidang berjalan dengan lancar tanpa celahan.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan ADUN Rengit, berkata sidang Dewan Rakyat selama dua hari berakhir semalam berlangsung dalam suasana tegang dan kecoh, menyebabkannya malu kepada rakyat dan dunia luar.

“Dulu saya dalam dewan, sekarang saya di luar. Baru saya nampak buruknya gelagat Ahli Parlimen terjerit-jerit sampai keluar perkataan ‘beruk’ dan ‘kera’.

“Tetapi apakah budaya kecoh perlu berterusan. Rakyat yang tekun mendengar Ahli Parlimen berhujah turut terganggu bila yang berhujah diganggu oleh Ahli Parlimen tidak berdisiplin,” katanya di Facebook.

Puad merupakan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat selama sepenggal, pada 2008 hingga 2013.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, berkata walaupun ramai dalam kalangan Ahli Parlimen adalah peguam dan bekas hakim, namun kelakuan mereka lebih teruk.

“Masalahnya, ramai Ahli Parlimen adalah peguam dan ada bekas hakim. Tetapi bila masuk Parlimen, mereka lagi kuat menjerit dan tidak patuh arahan Speaker.

“Justeru, perlukah peraturan mesyuarat Parlimen dipinda supaya lebih ketat? Kalau Akta Anti Lompat Parti boleh dibuat maka amat wajar juga Peraturan Tetap Dewan dipinda.

“Antaranya tidak lagi dibenarkan pencelahan semasa ahli Dewan sedang bercakap,” katanya merujuk peraturan mesyuarat Perkara 45 (2) Dewan Negeri Johor yang mana pencelahan tidak dibenarkan melainkan jika menyalahi peraturan mesyuarat.

Katanya, ia membolehkan setiap ahli Dewan dapat berhujah, mengkritik, menegur dan memberi pandangan dengan lancar tanpa gangguan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.