
“Saya perlu berbincang terlebih dahulu. Kami mempunyai masa yang mencukupi,” katanya kepada FMT melalui pesanan teks.
Kerajaan, penganalisis politik Razak Baginda dan bekas pegawai polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri ada sebulan untuk memfailkan notis rayuan.
Jumaat lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Vazeer Alam Mydin Meera berkata keluarga Altantuya berjaya membuktikan dakwaan mereka mengenai imbangan kebarangkalian terhadap kerajaan dan tiga individu berkenaan.
Katanya, kerajaan Malaysia sebagai defendan keempat, turut mempunyai tanggungjawab terhadap tindakan Sirul dan Azilah – defendan pertama dan kedua – yang menjalankan tugas sebagai anggota polis.
Dalam penghakimannya, Vazeer berkata, Sirul dan Azilah “sengaja menembak” dan “mengikat bahan letupan” pada badan Altantuya dan harus bertanggungjawab atas tindakan mereka.
Tambahnya, Razak adalah penghubung antara dua bekas polis itu dan Altantuya tetapi mengambil pendirian dia tidak mempunyai kes untuk dijawab dalam tindakan itu.
“Defendan ketiga (Razak) adalah orang yang meminta bantuan defendan pertama (Azilah) untuk menyelesaikan gangguan (oleh Altantuya).
“(Razak), dalam kenyataannya kepada polis, menyebut bahawa (Azilah) memberitahunya bahawa dia boleh ‘menghabiskan perempuan itu’ (memusnahkan wanita itu) dan (mendakwa dia) telah melakukannya beberapa kali sebelum ini,” kata Vazeer.
Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa, dan anak lelaki Altantuya Mungunshagai memfailkan saman itu, mendakwa terdapat konspirasi yang menyelubungi pembunuhan anaknya itu.
Altantuya ditembak di kepala pada 2006 di sebuah hutan di Puncak Alam. Mayatnya kemudian diletupkan dengan bahan letupan.
Azilah dan Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan Altantuya.
Razak, bekas pembantu kepada timbalan perdana menteri ketika itu Najib Razak, didakwa bersubahat dengan kedua-dua mereka, tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.