
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub berkata, skim kawalan berkenaan berkuat kuasa lima hari bermula 23 hingga 27 Dis ini.
Sebelas jenis barangan itu ialah ayam tua hidup (dikawal Sarawak saja), kepak ayam (dikawal di Sarawak, Sabah dan Labuan), daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, lada benggala hijau dan kubis bulat import (China dan Indonesia).
Selain itu, lobak merah, ubi kentang import (China), babi hidup (dikawal di Sarawak, Sabah dan Labuan), perut babi dan daging serta lemak babi (dikawal di Sarawak, Sabah dan Labuan), katanya pada sidang media mengumumkan SHMMP Krismas 2022 di Bangunan Parlimen.
Pada masa sama, Salahuddin berkata, ayam dan telur ayam sedang dikawal harganya di bawah pelaksanaan penentuan harga ayam serta telur ayam.
Katanya, tempoh SHMMP kali ini bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga, dengan pengguna dapat menikmati harga berpatutan, sementara peniaga tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan terlalu lama.
Sementara itu, Salahuddin berkata, lebih 2,000 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ditugaskan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memantau barangan keperluan perayaan.
Strategi itu, katanya, akan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan lebih berkesan dan langkah segera dapat diambil terhadap aduan pengguna serta tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga, sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
Pada masa sama, beliau berkata, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya peniaga mematuhi undang-undang serta mengamalkan perniagaan beretika.
“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan tersebut. Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” katanya.
Semakan harga SHMMP boleh dibuat melalui https://www.kpdnhep.gov.my.