Waspada gali tanah, elak mayat terkena jentera pengaut

Waspada gali tanah, elak mayat terkena jentera pengaut

Bomba berkata, bagi setiap empat kaki tanah runtuhan dikorek, pasukan penggalian akan membuat pemeriksaan sama ada melalui anjing pengesan atau secara manual.

Proses penggalian tanah runtuh bagi mencari mangsa tertimbus perlu dilakukan secara perlahan.
BATANG KALI:
Proses penggalian tanah runtuhan menggunakan jentera pengaut di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini, dijalankan secara berperingkat bagi mengelakkan jentera mengenai mayat.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis, berkata pada peringkat awal, pihaknya akan mengorek dan mengeluarkan tanah runtuhan sedalam tiga atau empat kaki untuk memudahkan mayat mangsa dikesan.

“Kita percaya mayat mangsa berada di dalam atau antara tanah runtuhan dan tanah asal. Jadi untuk mengeluarkannya, kita pada peringkat awal akan menggali atau mengorek tanah runtuhan sedalam tiga atau empat kaki.

“Selepas itu pasukan penggalian akan berhenti dan membuat pemeriksaan sama ada melalui unit anjing pengesan K9 atau secara manual. Jika tiada tanda-tanda menunjukkan mayat, kita akan teruskan penggalian namun secara perlahan untuk elak mayat terkena dengan pengaut jentera tersebut,” katanya dalam sidang media.

Norazam berkata, proses penggalian tanah runtuhan juga dipantau oleh seorang anggota pasukan penyelamat yang akan memberi panduan dan arahan mengenai cara penggalian dilakukan.

“Kita tak nak mereka (pasukan penggalian) korek tanah itu seperti mereka mengorek tanah untuk kerja-kerja pembersihan tanah. Ia harus dilakukan secara perlahan dan tidak secara dalam,” katanya.

Beliau berkata, setakat pagi ini, sebanyak lapan unit jentera pengaut digerakkan ke lokasi dan berkemungkinan ditambah mengikut kesesuaian.

Selain itu, Norazam berkata, pasukan penyelamat juga telah mendapat bantuan peralatan ‘Ground Penetrating Radar’ daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk membantu proses pengesanan mayat di dalam tanah.

“Kedua-dua pasukan yang menggunakan peralatan ini telah ditempatkan di sektor A (Hillview) dan Sektor C (Riverside) bagi membantu mengesan lokasi mayat dan juga mengukur ketebalan tanah runtuhan yang berlaku ke atas mangsa-mangsa,” katanya.

Insiden runtuhan tanah sepanjang hampir 300m dan setinggi 70m di tapak perkhemahan itu pada 2.42 pagi Jumaat, telah mengorbankan 24 daripada keseluruhan 94 mangsa setakat petang semalam, 61 orang selamat dan sembilan masih hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.