Tanah runtuh: Ibu hampir rebah, hilang 4 ahli keluarga

Tanah runtuh: Ibu hampir rebah, hilang 4 ahli keluarga

Beh Su Lee kehilangan anak perempuan, menantu lelaki, dan dua cucu berusia 6 dan 1 tahun.

Seorang ibu Beh Su Lee (dua dari kanan) hampir rebah ketika meninggalkan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh selepas menuntut mayat empat ahli keluarga, yang terkorban dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali. (Gambar Bernama)
SUNGAI BULOH:
Seorang ibu yang kehilangan empat ahli keluarga dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali kelihatan terlalu sedih dan lemah untuk berjalan, malah hampir rebah, selepas proses menuntut mayat mereka di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Beh Su Lee, 59, dari Sabak Bernam terpaksa dipimpin ahli keluarga untuk menuju ke kereta ketika meninggalkan Jabatan Forensik.

Wanita itu kehilangan anak perempuan berusia 35 tahun, menantu lelaki (34), dan dua cucu iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berusia enam dan satu tahun, dalam kejadian pagi Jumaat itu.

“Semalam saya sudah jumpa (camkan) tiga mayat. Hari ini saya jumpa (cam) lagi satu,” katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan hospital.

Beberapa minit sebelum Beh keluar dari Jabatan Forensik kelihatan dua buah van syarikat pengebumian meninggalkan jabatan tersebut, dipercayai membawa mayat empat ahli keluarga Beh.

Setakat ini 24 mangsa disahkan terkorban dengan sembilan lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.