
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, memaklumkan kepada pemberita bahawa Blake ‘kecundang’ selepas bekerja lebih masa selama dua hari berturut-turut.
Anjing pengesan itu antara 11 yang digerakkan daripada bomba, polis, dan tentera untuk operasi mencari dan menyelamat.
“Pada peringkat ini kita akan gerakkan secara bergilir-gilir bermula dengan tiga ekor dahulu, kemudian kita akan masukkan bakinya,” katanya, lapor Bernama.
“Kita mungkin akan minta penambahan sekiranya perlu.”
Sejak operasi dilancarkan pada Jumaat, anjing pengesan yang mempunyai deria bau yang tajam bertungkus-lumus mencari mangsa dalam persekitaran yang berlumpur tebal, berlecak, dan hujan.
Setakat petang semalam, 24 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali.
Operasi mencari dan menyelamat sembilan mangsa yang belum ditemukan diteruskan hari ini bermula pada 9 pagi selepas ditamatkan pada 9 malam semalam.